Sel Darah Putih Punca Leukimia    
Sum-sum tulang pesakit leukemia menghasilkan banyak sel darah putih berlainan bentuk dan tidak berfungsi dengan baik. Akhirnya, kehadiran sel darah putih yang terlalu banyak akan menghalang pembentukan sel darah putih yang normal dan menjejaskan kebolehan badan melawan jangkitan.
http://aabubiz.blogspot.com
Keadaan kanak-kanak yang menghidap leukemia mengundang simpati.  Leukemia adalah kanser tisu yang menghasilkan darah, termasuk sumsum  tulang dan sistem limfa. 
Leukemia berasal daripada perkataan Greek bermaksud darah putih dan  penyakit ini biasanya bermula dengan masalah sel darah putih. 
Dalam keadaan normal, sel darah putih bertindak sebagai penghalang  jangkitan yang membahagi secara teratur untuk menambah bilangannya dan  leukemia mengganggu perjalanan proses ini. 
Sum-sum tulang pesakit leukemia menghasilkan banyak sel darah putih berlainan bentuk dan tidak berfungsi dengan baik. Akhirnya, kehadiran sel darah putih yang terlalu banyak akan menghalang pembentukan sel darah putih yang normal dan menjejaskan kebolehan badan melawan jangkitan.
Sel leukemia ini juga mengganggu sel darah lain, termasuk sel darah  merah yang membawa oksigen ke seluruh badan dan platlet yang membantu  pembekuan darah untuk mengawal pendarahan. 
Leukemia sebenarnya bukan penyakit kanak-kanak seperti disangkakan. Ada  empat jenis utama leukemia dan hanya sebahagian yang menyerang  kanak-kanak dan boleh membawa maut jika tidak mendapatkan rawatan. 
Simptom Leukemia 
Simptom leukemia berbeza-beza, tetapi secara umumnya pesakit mengalami  demam dan letih berpanjangan, jangkitan yang susah sembuh, hilang selera  makan, berat badan menurun, nodus limfa dan hati bengkak, mudah luka  dan berdarah, kulit berbintik merah, berpeluh pada waktu malam dan sakit  tulang. 
Semua tanda ini bagaimanapun bergantung kepada jumlah sel darah putih  yang terkumpul dalam badan pesakit. Biasanya, tanda awal leukemia sering  dilepas pandang kerana ia menyamai simptom selesema dan penyakit biasa  lain. 
Doktor membahagikan punca leukemia mengikut jenisnya - akut dan  limfositik. Dalam leukemia akut, sel darah yang tidak normal adalah sel  tidak matang (blasts). Sel ini tidak boleh berfungsi secara normal dan  membahagi dengan cepat. Jadi, penyakit mudah menjadi serius dan  memerlukan rawatan segera yang agresif. 
Dalam kes kronik membabitkan sel darah lebih matang, sel-sel darah ini  akan mengganda dan berkumpul lebih perlahan, boleh berfungsi secara  normal bagi satu tempoh tertentu. Sesetengah jenis leukemia kronik tidak  menunjukkan simptom dan pesakit tidak mendapatkan rawatan hinggalah  apabila sudah terlalu serius. 
Klasifikasi kedua pula dibuat berdasarkan jenis darah putih yang  terbabit. Leukemia limfositik memberi kesan kepada sel limfoid atau  limfosit dan membentuk tisu limfoid atau limfa. 
Tisu ini adalah komponen utama sistem imun badan yang ada di semua bahagian tubuh, termasuk nodus limfa, limpa dan tonsil. 
Leukemia mielogenus pula membabitkan sel mieloid iaitu penghasilan sel  darah (sel darah merah, putih dan platlet) dalam sumsum tulang tidak  normal. 
Antara jenis leukemia yang paling lazim adalah mieologenus akut (yang  berlaku pada kanak-kanak dan orang dewasa), limfositik akut (biasanya  pada kanak-kanak), mielogenus kronik (menyerang orang dewasa) dan  limfositik kronik (dewasa). 
Bagaimanapun, punca sebenar leukemia belum dapat dipastikan dengan  tepat. Sehingga kini ia dipercayai berkaitan rapat dengan genetik dan  faktor persekitaran. 
Apa pun sebabnya, bilangan sel darah putih yang normal dan sihat akan  melemahkan sistem pertahanan badan, menyebabkan pesakit mudah mendapat  jangkitan, anemia dan pendarahan teruk. Sebaliknya, mempunyai terlalu  banyak sel darah putih akan merosakkan fungsi sumsum tulang dan memasuki  organ badan lain. Jika berlaku pendarahan atau jangkitan, ia boleh  membawa maut. 
Faktor Risiko dan Jenis Rawatan: 
Antara faktor risiko mendapat leukemia termasuk terapi kanser (kemo dan  radioterapi), genetik, pendedahan kepada radiasi atau bahan kimia  seperti benzene (dalam minyak tanpa plumbum, asap rokok dan bahan kimia  industri). Bagaimanapun, biasanya orang yang kerap terdedah kepada  faktor di atas tidak mendapat leukemia. 
Jika anda mengalami simptom leukemia, segera jalani pemeriksaan  kesihatan. Tidak seperti kanser lain, rawatan leukemia rumit kerana ia  membabitkan sumsum tulang yang menghasilkan sel darah merah, putih dan  platlet - yang sangat penting untuk hidup. 
Jenis rawatan bergantung kepada banyak faktor, termasuk umur, keadaan  kesihatan dan tahap penyakit. Cara paling utama adalah kemoterapi untuk  membunuh sel leukemia secara pengambilan pil atau suntikan terus ke  dalam salur darah. 
Terapi biologi atau imunoterapi juga dijalankan untuk meningkatkan  tindak balas sistem imun badan terhadap kanser. Manakala rawatan radiasi  menggunakan sinar-x atau sinar bertenaga tinggi lain untuk memusnahkan  sel leukemia dan menghalang pertumbuhannya. 
Kaedah lain adalah pemindahan sumsum tulang. Dalam kaedah ini, pesakit  diberi kemoterapi atau radiasi pada dos lebih tinggi untuk memusnahkan  sel leukemia dalam sumsum tulang. Sumsum tulang diperoleh daripada  penderma sesuai atau sumsum tulang pesakit sendiri. 
Pemindahan sel stem lebih kurang sama dengan pemindahan sumsum tulang  dan sel stem diambil daripada darah pesakit atau penderma. Kaedah ini  lebih popular daripada pemindahan sumsum tulang kerana tempoh  penyembuhan yang singkat dan kurang risiko jangkitan. 
Menghidap kanser - sebarang jenis kanser adalah pengalaman paling  mengerikan, terutama jika ia membabitkan anak kecil. Apa pun keadaan  anda, ingat, anda tidak bersendirian. 
Anda perlu kuatkan semangat menghadapi dugaan ini. Beberapa cara boleh  dilakukan, termasuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai  penyakit, kaedah rawatan dan kesan sampingannya. 
Dapatkan sokongan keluarga. Jika tidak, sertailah kumpulan sokongan  pesakit kanser. Ini penting untuk meningkatkan tindak balas badan  terhadap rawatan. Berbual dengan pesakit yang senasib sedikit sebanyak  akan membantu menguatkan semangat dan pengalaman orang lain boleh  membantu anda menjalani kehidupan dengan lebih baik. 
Buat rancangan mengubah kehidupan mengikut kemampuan anda. Pastikan anda  meluangkan masa untuk diri, ambil makanan seimbang, bersenam dan  dapatkan rehat yang cukup. 
Kekalkan kehidupan yang aktif. Menghidap penyakit bukan bermakna anda  perlu mengenepikan kegiatan digemari. Jika anda suka menyertai aktiviti  kemasyarakatan, teruskan kerana ia membantu anda meningkatkan kualiti  hidup. 
For more info, godek lah kat sini.http://aabubiz.blogspot.com

0 jari-jari menaip komen:
Post a Comment