Friday, December 9, 2011

Aku Stalker Part 6


Beep! Bunyi telefon bimbit Intan menandakan ada mesej masuk.
Intan lekas membaca kerana takut ada mesej penting yang berkaitan dengan tugasan untuk akhir semester ini.

“Seandainya hatimu masih ada ruang, izinkanlah namaku mengisi ruang itu.”

Mesej itu dibiarkan sahaja tanpa balasan kerana Intan sudah malas nak melayan mesej dari nombor yang tidak dikenali dan tidak penting.

Beep! Sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi.

“Seandainya dirimu itu dalam kesedihan, izinkanku merawat luka di hatimu.”

“Saya sibuk. Maaf, insan yang dikenali tidak akan dilayan mesejnya.” kata Intan di dalam hati namun masih tidak mahu membalas mesej tersebut.

“Semoga dipermudahkan segala urusan diiringi keberkatan olehNya selalu.”

“Terima kasih atas doanya, insan yang tidak dikenali. Berhentilah mesej kat nombor ni.” bisik Intan di dalam hati.

“Suatu hari nanti dirimu pasti akan mengenali diri ini hingga dirimu tidak mampu untuk melupakan diri ini walau sesaat kita berjauhan.”

“Mana mungkin aku akan mengenali engkau, insan yang tak dikenali. Tak semudah itu untuk aku jatuh lagi dalam perangkap cinta sms.” Intan masih tidak membalas mesej insan yang tidak dikenalinya itu. Dibiarkan sahaja.

“Diri ini ingin dirimu tahu, diri ini memberi tanpa diminta, diri ini mencinta tanpa perlu dipaksa, biarlah segalanya berlaku seperti kehendakNya. Hebat mana pun rancangan diri ini, rancanganNya lagi Maha Hebat.”

“Tahu pun Allah lagi hebat. Sedar jugak engkau, insan yang tidak dikenali.”

Intan sudah penat membaca mesej dari insan yang tidak dikenali itu yang bertubi-tubi masuk. Dia terus mematikan telefon bimbitnya supaya tidak terus diganggu. Tugasan akhir semesternya lebih penting pada waktu ini.

0 jari-jari menaip komen:

 
Luahan Hati Blogger Template by Ipietoon Blogger Template