Pagi itu indah seperti kebiasaannya. Surat yang dicoretkan semalam masih setia di atas meja menanti untuk diletakkan ke dalam sampul surat yang juga berwarna biru. Aisha memilih sampul biru kerana insan yang akan menerima warkah yang dicoretkannya meminati warna tersebut, begitu juga dirinya.
Baginya biru lambang ketenangan. Andai dilanda masalah, jika ditenung langit biru, dia akan lupa seketika masalah dan segera memuji kebesaran Allah yang Maha Esa. Pantas dia lipat surat biru itu dan mengegam sampulnya sebelum menulis alamat penerima di bahagian hadapan sampul.
Di dalam hati, Aisha berdoa agar surat itu sampai ke tangan penerimanya dengan harapan dia sihat. Sebelum melangkah keluar dari bilik, Aisha menutup laptop yang sedari tadi bernyanyi riang memainkan lagu Andai Dapat Ku Undurkan Masa. Tiap kali mendengarnya, dia pasti teringat padanya. Namun, apalah daya Aisha, nasi sudah menjadi bubur. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Rindu di hati hanya Allah yang tahu. Namun, sia yakin apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya.
Setelah itu dia ke dapur untuk menemui ibunya yang sedang sibuk menyiapkan sarapan. Begitulah ibu Aisha. Rutinnya sama sejak Aisha mula mengenal dunia hinggalah dia dewasa kini. Tidak pernah ibunya jemu apatah lagi merungut.
“Hmmm…sedapnya bau…”
“Kamu nak ke mana ni?”
“Keluar dengan kawan sekejap. Bolehkan, bu?”
“Bolehlah, kalau tak diizinkan nanti muncung pulak,”gurau ibu.
“Mana ada…”
“Tengok tu…sarapan dulu baru boleh keluar.”
“Okey bu. Saya yang menurut perintah.”
“Nanti balik awal tau. Jangan nak bermalam pulak di rumah kawan.”
“No problem.”
Usai sarapan, Aisha mencium tangan ibu sebelum keluar mendapatkan Miza yang datang menjemputnya.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam. Senyum lebar nampak. Ada apa-apa ke?”
“Alah, mana ada apa-apa pun. Saja nak mulakan hari dengan senyuman. Salah ke?”
“Aku tak cakap salah pun. Semalam kau kata nak ke pejabat pos, kan?”
“Ha ah, kau dah lupa ke Miza?”
“Takdelah lupanye, sayang oi…untuk kepastian. Tapi, sebelum itu, aku nak pergi sarapan dulu. Kau dah sarapan ke belum?”
“Aku dah sarapan la dengan mak aku tadi. Takpe aku temankan kau sarapan. Lepas tu pergi pejabat pos.”
“Kau tengok aje lah aku makan nanti,k.”
“Okey je. Aku kenyang lagi lah. Takdenyer nak kempunan sangat.”
Miza memilih untuk bersarapan di Restoran Melayu memandangkan ianya berhampiran dengan pejabat pos. Sementara menunggu pesanan sampai, kami berbual-bual kosong.
“Kau nak buat apa pergi pejabat pos pagi ni?”
“Nak pos surat lah, nak buat apa lagi?” jawabku berseloroh.
“Tahulah pos surat. Untuk siapa?”
“Adalah... biarlah rahsia.”
“Eleh... dengan aku pun nak berahsia.”
Aisha cuma diam dan membalas dengan senyuman. Pesanan Miza pun sampai sekaligus menyelamatkan Aisha daripada menjawab soalan cepumas Miza. Miza seorang yang tidak gemar bercakap ketika makan. Jadi, Aisha duduk berdiam diri dan hanya termenung melayan perasaannya.
“Aku tengok, kau termenung je masa aku sarapan tadi... ada masalah ke?”
“La... mana ada. Kau ni... Aku terpegun tengok kau makanlah tadi,” jawab Aisha berseloroh.
“Jangan nak tipu la... Pandang aku pun tak. Asyik pandang jalan.”
“Ye ke? Tak perasan pulak aku,” jawabnya masih ingin berselindung.
“Dah kau asyik pandang jalan, mana nak perasan aku tengok kau. Kau ada masalah ke? Ceritalah kat aku,” Miza masih mendesak kerana inginkan jawapan dari sahabatnya.
“Aku merenung masa depan je. Takde masalah la Miza... aku okey. Tak payah lah kau risau sangat,” jawab Aisha untuk meyakinkan Miza walaupun sebenarnya dia sendiri kurang pasti akan jawapannya.
“Baguslah kalau macam tu.”
Aisha hanya tersenyum. “Maafkan aku Miza sebab tipu kau.” Namun, ayat itu tidak diluahkan tetapi hanya dibisikkan di dalam hati. Selepas selesai segala urusan, Aisha meminta Miza menghantarnya pulang ke rumah walaupun Miza masih ingin meluangkan masa bersamanya. Bukannya Aisha tak sudi, tapi dia letih namun tidak tahu kenapa.
Setibanya di rumah, Aisha bergegas masuk ke biliknya dan terus menghempaskan badannya ke atas tilam sambil merenung siling biliknya. “Nasib baiklah Miza tidak bertanya lagi di pejabat pos tadi kepada siapa ku tujukan surat itu,” Aisha berkata kepada dirinya sendiri.
Sedang asyik memikirkan sama ada suratnya akan berbalas atau pun tidak, telefon Aisha berbunyi meminta dijawab. Aisha melihat nama yang tertera pada skrin telefon, lalu dibiarkan sahaja telefon itu bernyanyi semahu-mahunya. Setelah berhenti, dengan pantas Aisha menukar profil telefon bimbitnya supaya berada dalam mod senyap. Dia tidak mahu diganggu ketika itu. Aisha pun terlena kerana leka melayan perasaannya.
0 jari-jari menaip komen:
Post a Comment