Sunday, February 12, 2012

Untut? Ape tu?

Kaki Gajah atau Untut adalah disebabkan oleh parasit dan virus bawaan nyamuk Mansonia yang hidup di kawasan berpaya dan air bertakung, sama seperti nyamuk Aedes. Mereka yang mengidap penyakit ini akan mengalami keadaan di mana salah salah satu, atau kedua-dua kaki akan ´membesar´ akibat lapisan kulit yang tumbuh berlapis-lapis.
Jangkitan penyakit ini, yang lebih kerap menyerang lelaki berbanding wanita bermula apabila mangsa digigit nyamuk Mansonia betina, menyebabkan jangkitan cacing mikrofilaria yang menjadi punca penyakit ini.

PUNCA DAN JANGKITAN
Nama saintifik bagi penyakit ini ialah ‘Filariasis Limpatik’. Walaupun jarang berlaku, kerajaan mengkategorikannya sebagai masalah besar untuk negara ini.

Keadaan ini terutamanya berlaku di kawasan tepi sungai seperti di Pahang, Terengganu, Perak, Bintulu dan Miri di Sarawak serta Sungai Kinabatangan di Sabah. Kajian pihak bertanggungjawab pada tahun 2002 mendapati, kira-kira 200 kes jangkitan dikesan di negara ini dan 10 daripada pesakit disahkan menghidap Untut.
Kes-kes Untut jarang dilaporkan berlaku di Eropah dan Amerika Utara, kerana ketiadaan populasi nyamuk Mansonia di sana akibat iklim kurang sesuai bagi haiwan ini membiak.
Sebaliknya, cacing parasit mikrofilia Wuchereria Bancrofti, Brugia Malayi dan Brugia Timori amat sesuai hidup dalam persekitaran panas lembap seperti negara ini.
Cacing-cacing berkenaan menjangkiti sistem limpa lalu membiak hingga membentuk satu koloni besar dalam badan manusia, biasanya tanpa disedari perumahnya.
Kitaran hidup cacing parasit ini bermula apabila ia memasuki badan manusia, bertelur dan menghasilkan larva.
Selain manusia, haiwan seperti monyet dan beberapa jenis primat juga antara perumah yang dikenal pasti boleh menjadi tempat pembiakan cacing ini. Cacing-cacing yang kelihatan seperti benang jahit ini tidak membawa kesan buruk kepada manusia semasa ia hidup kerana jangkitannya bersifat Asimptomatik, justeru ia tidak berjangkit.
Namun begitu, kesan buruknya mula timbul apabila cacing ini mati dan sisa badannya terkumpul di badan perumahnya.
Larva mikrofilaria mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk menjadi cacing matang. Selepas setahun, cacing dewasa boleh membiak dan menghasilkan beribu-ribu mikrofilaria lagi. Dalam tempoh ini, mikrofilaria akan tersebar jika individu itu digigit nyamuk.
Dalam badan nyamuk, mikrofilaria mengambil masa antara tujuh hingga 21 hari untuk membesar ke peringkat paling berjangkit sebelum dipindahkan ke perumah baru apabila nyamuk menghisap darah mangsa lain.
Apabila sampai ke badan perumah baru, mikrofilaria ini akan masuk ke dalam sistem limfa untuk membiak di sana. Haiwan ini boleh hidup antara enam hingga 10 tahun dalam badan manusia, justeru, kesan jangkitan hanya dirasai apabila cacing dewasa mati.
KESAN JANGKITAN
Antara tanda jangkitan cacing ini ialah demam dan bengkak kelenjar yang berulang. Bagi kaum wanita pula, mereka mungkin mengalami masalah Anemia, sementara jangkitan pada kanak-kanak juga boleh menyebabkan mereka terencat. Tanda jangkitan yang akut pula ialah keradangan pada kulit, limfa dan salur limfa sebelum berakhir dengan kaki gajah yang kronik.
Bagaimanapun, bukan semua individu yang dijangkiti akan mengalami masalah Untut; ada yang hanya dilanda demam Filariasis. Sama ada seseorang itu akan dijangkiti Untut atau hanya sekadar demam Filariasis sahaja, bergantung kepada daya tahan terhadap penyakit seseorang individu itu.
Ia juga bergantung kepada berapa banyak cacing yang mati di dalm badan perumahnya, jika kaki bengkak dan besar, menandakan cacing dewasa yang mati adalah banyak.
Bahagian kaki yang membesar itu sebenarnya disebabkan reaksi sel terhadap sisa badan cacing yang membuatkan ia membahagi dengan cepat dan akhirnya membentuk lapisan sel berlebihan. Akibatnya, kaki kulit akan menjadi berlapis-lapis, tebal dan berlipat sehingga kaki akan kelihatan hodoh.
Pun begitu, kajian telah membuktikan bahawa bukan hanya kaki sahaja yang boleh mengalami kesan Untut, malah ada kes dimana ia terjadi di buah dada wanita dan alat sulit lelaki! Kaum lelaki yang dijangkiti penyakit ini sering dikaitkan dengan mengalami masalah kesuburan walaupun belum ada kajian saintifik yang membuktikan dakwaan ini, kecuali kesukaran bagi pengidapnya untuk melakukan hubungan intim.
Untut juga bukan penyakit keturunan kerana ia tidak akan menjangkiti anak-anak jika ibu bapa mereka terbukti ada menghidapnya. Penghidap Untut juga biasanya mempunyai kurang keyakinan diri akibat keadaan fizikal mereka, dalam kebanyakan kes, pesakit lebih gemar memencilkan diri dan tidak bergaul dengan masyarakat kerana akan hanya menjadi bahan ejekan.

ADAKAH ANDA BERISIKO?
Mereka yang berpotensi dijangkiti penyakit ini ialah penduduk kawasan pedalaman yang tinggal berhampiran sungai atau kolam yang kotor, kawasan di mana terdapat banyak tumbuhan keladi bunting serta kawasan aliran airnya adalah perlahan.
Turut berisiko ialah kawasan yang tidak mempunyai sistem pembentungan yang sempurna sepeerti kawasan setinggan. Oleh kerana ia sering menyerang penduduk kawasan yang kurang membangun, maka terdapat dakwaan tidak bertanggungjawab yang mengaitkannya sebagai penyakit orang miskin.
Bagi mereka yang dijangkiti Untut, adalah dinasihatkan supaya menjaga kebersihan, terutamanya di bahagian kulit yang berlipat (lengan dan kaki) kerana bahagian berkenan mudah berpeluh.
Namun, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati . Justeru, langkah terbaik adalah untuk menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal anda. Kita dinasihatkan agar menghapuskan tempat pembiakan nyamuk seperti tayar lama, botol, pasu, perangkap semut dan sebagainya.
Ramai antara kita yang kini mempunyai landskap berkolam dilaman rumah. Sekiranya kolam-kolam ini tidak dipantau kebersihannya, kelak ia akan memerangkap pemiliknya apabila menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Di kawasan-kawasan kampung pula, kolam-kolam tinggal juga hendaklah kembali diusahakan dengan menternak ikan daripada dibiarkan sahaja menjadi tempat pembiakan pelbagai nyamuk.

RAWATAN
Dahulu, proses diagnosis penyakit ini adalah sukar kerana cacing parasit ini mempunyai sifat yang hanya boleh dikesan pada waktu malam. Bagaimanapun, kini melalui teknologi terkini, kehadiran larva boleh dikesan melalui ujian darah ke atas antigen cacing parasit.
Bagi mereka yang sudah dijangkiti penyakit ini, antara ubat-ubat yang biasanya digunakan ialah Diethylcarbamazine (DEC) yang merencatkan perkembangan larva cacing di dalam badan perumah, manakala Albendazole pula khas untuk membunuh cacing dewasa.
Melalui rawatan sempurna, ia boleh mengatasi masalah kulit disebabkan reaksi sel terhadap sisa badan cacing, mengurangkan beban jangkitan.
Bahaya Untut turut mendapat perhataian pelbagai badan kesihatan antarabangsa yang mengambil inisiatif menwujudkan program menghapuskan penyakit ini.
Program Menghapuskan Filariasis Limpatik (GDELF) di bawah kelolaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula sejak tiga tahun lalu ke atas 250 juta penduduk dunia yang berisiko tinggi dijangkiti penyakit ini.
Antara kaedah yang digunakan di negara kita ialah pengagihan ubat dari rumah ke rumah. Selain menghentikan tindakan cacing parasit penyebab untut, ia juga berkesan membunuh cacing kerawit.
more at,


0 jari-jari menaip komen:

 
Luahan Hati Blogger Template by Ipietoon Blogger Template