Monday, August 29, 2011

Mereka Yang Pernah Patah Hati part 2


Berbeza dengan Umar bin Abdul Aziz, sahabat yang bernama Salman alFarisi pernah ditolak cintanya. Beliau mempunyai niat untuk berkahwin sesudah mengenali seorang wanita Ansar yang merupakan seorang wanita mukminin lagi solehah dan mendapat tempat di hati Salman.

Walau bagaimanapun, Salman berasa asing di Madinah kerana beliau tidak dilahirkan di situ. Oleh sebab Madinah mempunyai adat, cita rasa, bahasa dan pelbagai perkara yang belum begitu dikenalinya, beliau berfikir beliau perlu kepada seseorang untuk menjadi juru bicaranya jika ingin melamar seorang gadis tempatan. Akhirnya Salman memilih Abu Darda', sahabat Ansar yang dipersaudarakan dengannya.

"Subhanallah...wal hamdulillah", gembira Abu Darda' mendengar hal tersebut. Mereka tersenyum bahagia dan berpelukan. Maka setelah persiapan dirasakan cukup, beriringanlah kedua sahabat itu menuju sebuah rumah di penjuru tengah kota Madinah, rumah wanita solehah lagi bertaqwa.

"Saya Abu Darda' dan ini ialah saudara saya, Salman alFarisi yang berasal dari Parsi. Allah telah memuliakannya dengan Islam dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah s.a.w sehingga baginda menganggapnya sebahagian daripada ahli keluarga baginda. Saya datang untuk mewakili saudara saya ini untuk melamar anak gadis tuan untuk dipersuntingnya." Sangat fasih Abu Darda' berbicara dalam dialek asli Bani Najjar.

"Kami berbesar hati." Ucap tuan rumah, "Menerima awak berdua, sahabat Rasulullah s.a.w yang mulia. Keluarga ini rasa bertuah jika bermenantukan seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang utama. Akan tetapi jawapannya saya serahkan sepenuhnya kepada anak gadis kami." Tuan rumah memberi isyarat ke arah hijab yang melindungi si gadis yang menanti dengan penuh debaran.

"Maafkan kami kerana terpaksa berterus terang", kata suara lembut si ibu yang berbicara mewakili anak gadisnya. "Tetapi kerana awak berdua yang datang, maka dengan mengharap redha Allah, saya menjawab bahawa anak gadis kami menolak pinangan Salman. Namun jika yang melamar anak gadis kami ialah Abu Darda', anak gadis kami tidak menolaknya."

Jawapan berterus terang itu jelas mengejutkan, tetapi sekaligus indah. Si gadis lebih tertarik kepada jurucakap berbanding tuan badan itu sendiri. Hal itu mengejutkan dan ironis, tetapi indah kerana satu alasan iaitu reaksi Salman. Bayangkan perasaan ketika cinta dan persaudaraan bergelojak berebut tempat dalam hati serta bayangkan perasaan malu yang menimbulkan kegelisahan dan bertemu dengan gelombang kesedaran bahawa dia memang belum mempunyai sebarang hak terhadap orang yang dicintainya, Salman berbicara:

"Allahu Akbar!" seru Salman, "Semua mahar dan nafkah yang ku persiapkan ini akan ku serahkan pada Abu Darda' dan aku akan menjadi saksi pernikahan kalian!"

[Sumber: Buku Terapi Patah Hati]

p/s: Bagaimana pula andai kita di tempat Salman? wallahua'lam...sekadar perkongsian, edit sikit2 dari buku supaya lebih ringkas pembacaan...moga bermanfaat ^^,


0 jari-jari menaip komen:

 
Luahan Hati Blogger Template by Ipietoon Blogger Template