Aku melihat dari kejauhan, anak-anak kecil sedang bergembira bermain bersama-sama dengan begitu seronok sekali. Mereka begitu gembira walaupun bukan dalam kalangan keluarga berada. Betapa aku di sini kekurangan, kesepian dan kekosongan di dalam mahligai indah yang tak ubah seperti penjara bagiku.
Kesunyian dan kesepian yang ku rasakan ini semakin hari semakin memakan diriku. Aku diciarkan sepi di dalam bilik yang dihias cantik hanya untuk menggembirakan aku sejak peristiwa itu. Peristiwa yang meragut seluruh kebahagian hidupku. Kini, aku hanya mampu meratapi nasib diri ini. Aku menangis dan terus menangis dan akhirnya aku tertidur.
Harapan untuk hidup bahagia bersamanya berkecai. Aku ditinggalkan sendirian kerapkali aku menyalahkan Nya. Aku sudah tidak mampu menanggung derita ini. “Kenapa tidak nyawaku diambil sekali?” Persoalan itulah yang sering berlegar di fikiranku. Hidupku serba tak kena.
Lekaku memikirkan nasib diri, hingga waktu Zohor sudah hendak menginjak ke Asar. “Astaghfirullah”…Aku bergegas untuk menunaikan solat. Alhamdulillah. Terasa ketenangan menyelimutiku. Ya Allah, betapa ku merindui mereka. Adakah mereka ditempatkan di sisi orang yang Engkau muliakan?
Aku dikejutkan oleh deringan telefon, menandakan ada satu panggilan. Hatiku tertanya-tanya. Tidak pernah dia menelefonku sebeljum ini. Aku biarkan telefon iyu menyanyi dan terus menyanyi. Akhirnya sepi.
Dialah jejaka yang pernah singgah dalam hidupku suatu masa dahulu. Bukan sebagai kekasih tetapi cuma sahabat yang sentiasa ada untukku. Hingga pada suatu hari, dia melafazkan kata cinta kepadaku…
“Maafkan Hani, Hani tak boleh terima cinta Fendi.”
“Tapi, kenapa? Siapakah jejaka bertuah yang berjaya menawan istana hatimu, Hani?”
“Hani telah dilamar oleh seseorang.”
“Kalau begitu, Fendi doakan Hani bahagia bersamanya hingga ke akhir hayat.”
Itulah kali terakhir kami bersua. Fendi pergi setelah melafazkan sebaris ayat itu tanpa menoleh ke belakang.
Namun, kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan. Haris telah pergi selamanya sebelum sempat kami memeterai janji untuk sehidup semati dengan ikatan yang sah. Kemalangan ngeri itu telah merampasnya dariku dan meninggalkan kesan yang amat mendalam. Aku kini lumpuh dari paras pinggang ke bawah. Aku bergantung harap dengan bantuan orang di sekelilingku untuk melakukan perkara yang tidak terdaya ku lakukan sendiri. Kerusi roda lah teman akrabku kini.
Aku bersyukur, ibu sentiasa di sisiku memberi sokongan dan dorongan supaya dapat aku teruskan hidup dengan senyuman seperti dulu.
“Ibu, maafkan Hani, Hani banyak menyusahkan ibu.” Ku lihat ibu memandangku dengan wajah keibuannya, lantas ku hadiahkan sekuntum senyuman buat ibu. Ikhlas. Tenang ku rasakan.
Aku tahu ibu sangat bimbangkan aku. Bukan sahaja dengan keadaanku yang sudah lumpuh, bahkan aku juga turut menderita kerana doktor mengesahkan terdapat tumor pada otakku yang boleh membawa maut dan peluang untuk hidup amat tipis meskipun pembedahan dijalankan bagi membuang tumor itu.
Kenangan bersama Haris seringkali menyapa benakku. Tidur malamku sentiasa ditemani mimpi indah bersama Haris. Senyumannya, gelak tawanya. Ahh!!! Mengapa harus dia yang pergi?... Haris… Rintihku…
“Put your trust in Allah.” Kata-kata terakhir Haris padaku. Memang telah menjadi satu kelaziman baginya mengucapkan ayat itu padaku. Tidak ku sangka dia akan pergi untuk selamanya dan ayat itu umpama amanat terakhir darinya.
“Sunyi... ibu, Hani rindukan abang Haris,”
Hanya itu yang mampu ku luahkan pada ibu. Malam itu begitu hening bagiku. Ibu seperti biasa, tetap setia menemaniku. Buat kesekian kalinya, aku menangis lagi. Lembut jemari mulus ibu membelai rambutku, menghilangkan kegusaran yang melanda benakku.
“Hani...relakanlah pemergian Haris, sayang. Esok ibu temankan Hani pergi kubur arwah. Leraikanlah kerinduan Hani pada Haris. Mohon pada Allah agar dia ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang Allah redhai,”pujuk ibu.
“Ibu tahu kan...kenapa Hani tidak pergi ke sana...? Bukan Hani tak nak ziarah kubur dia, ibu. Masalahnya...”
Lantas ibu meletakkan jarinya di atas bibir mungilku.
“Kerana kaulah anak aku mati!”
Sebaris ayat itu cukup membuatkan hatiku hancur berkecai seperti kaca yang retaknya seribu.
“Pergi kau dari sini! Kalau tidak kerana kau, anak aku takkan mati! Haris takkan mati! Pergi kau pembawa malang!”
Terasa lemah seluruh sendiku mendengar herdikan dan tohmahan Datin Halimah ketika aku ingin menatap wajah Haris untuk yang terakhir kalinya. Belum pun aku masuk ke dalam rumahnya, aku sudah diherdik sedemikian rupa. Apakah benar aku yang bersalah?...
“Haris, maafkan Hani kerana tak dapat jumpa Haris untuk kali terakhir...”bisikku di dalam hati.
Ibu yang turut ada ketika itu, memujukku agar pulang dahulu dan hanya akan pergi semasa pengebumian Haris. Aku hanya menurut tanpa melawan sedikit pun. Namun, rasa di hati ingin sahaja aku masuk tanpa menghiraukan tetamu yang hadir ketika itu. Cuma, aku tidak mahu mengocak air yang keruh. Jadi, yang terbaik hanyalah bersabar.
Ibu yang amat memahami ku terus membawaku pulang ke rumah kami. Mayat Haris akan dikebumikan pada sebelah petangnya iaitu selepas solat Zohor. Aku amat berharap kali ini aku akan diizinkan untuk melihat pengebumiannya walaupun hanya sekadar memandang dari jauh...
Malangnya, Datin Halimah berkeras tidak mengizinkan bahkan tidak membenarkan ku untuk datang melihat Haris dikebumikan. Aku sedar walau menangis airmata darah sekalipun, tiada siapa yang akan mempedulikanku dan membenarkan aku untuk turut hadir semasa pengebumian Haris.
Alangkah kejamnya dunia ku rasakan ketika itu kerana memisahkanku dari Haris. Akan tetapi, sedari perkenalanku dengan Haris, ibunya memang membantah keras kerana dia telah mempunyai calon menantu pilihannya yang sama taraf dengan keluarganya. Jurang perbezaan darjat antara kami bagaikan langit dengan bumi.
Mana mungkin pipit mampu terbang bersama-sama enggang. Tiba-tiba terasa layar kehidupanku bak filem Antara Dua Darjat. Aku tidak menyalahkan Haris meskipun dia tidak membelaku di hadapan mamanya. Bukan kesalahannya. Hanya aku yang silap. Jatuh cinta pada insan sepertinya.
Bertudungku bukan kerana Haris. Lembut tutur kataku juga bukan kerana Haris. Namun, kerana Haris hatiku tenang dan terasa indanya iman. Hadirnya Haris dalam episod kehidupanku membawa perubahan demi perubahan yang positif. Semuanya kerana satu lafaz itu...”Put your trust in Allah”. Kata-kata itu memberikan kesan yang amat mendalam pada diriku.
Dahulu, aku bukanlah seorang muslimah yang mengamalkan gaya hidup muslim seperti sahabatku yang lain. Hidupku penuh dengan titik-titik hitam pada kain kanvas yang putih. Solat bukanlah satu rutin dalam jadual harianku. Rambutku yang panjang dibiarkan bebas dipuput angin. Aku bergaul dengan sesiapa sahaja yang aku hendaki tanpa memikirkan batas-batas pergaulan yang mesti aku jaga.
Aku sedar akan hukum itu. Cuma, semenjak dikecewakan insan bernama lelaki aku bertekad untuk mempermainkan perasaan semua lelaki yang aku kenali. Akan tetapi, kerana sebuah pertemuan yang tidak disengajakan tetapi adalah ketentuan Allah, aku berlanggar dengan seorang jejaka ketika aku bergegas untuk menghadiri kuliah pada suatu pagi hatiku terdetik untuk membuka lembaran baru dalam hidupku.
“Maaf, saya tak sengaja...”lembut sahaja suara itu menyapa telingaku.
“Awak buta? Saya tak percaya awak tidak sengaja melanggar saya. Ini semua taktik lelaki untuk berkenalan dengan wanita.”omelku tanpa menghiraukan kata maaf yang diucapkan oleh lelaki itu.
“Okey. Nama saya Haris. Saya tak kisah awak nak fikir apa pasal saya. Terpulanglah pada awak untuk mempercayai saya ataupun tidak kerana bagi saya, kepercayaan kepada Allah lagi penting dari awak percayakan manusia.”
“Manusia hanya pandai menabur janji, tetapi tidak menunaikannya...”laju sahaja ayat itu meluncur dari bibirku.
“Betul tu. Jadi awak dah percaya ke pada saya?”tambah jejaka yang baru sahaja memperkenalkan dirinya sebagai Haris kepadaku.
“Ke situ pulak. Jangan nak perasan. Maaf, saya dah lambat ni. Saya pergi dulu.”
“Saya dah lama maafkan awak...”katanya lagi dengan senyuman.
Aku pun terus beredar tanpa menghiraukan Haris. Sepanjang kuliah dijalankan, aku asyik memikirkan sebaris ayat iaitu, put your trust in Allah. Otakku berfikir dengan ligat untuk mencari makna yang tersirat di sebalik frasa tersebut. Tiba-tiba aku terdengar suara yang sama sedang menyuarakan pendapat mengenai kepercayaan.
Dia tetap menyatakan frasa yang sama ketika menyuarakan pendapatnya mengenai kepercayaan. Tambahnya lagi, sebagai makhluk Allah kita mesti percaya akan kewujudannya meskipun kita tidak dapat melihatNya dengan mata kasar. Walaupun tidak kelihatan, tanda-tanda kekuasaanNya banyak. Sebagai contoh, kejadian manusia.
Dia menghuraikan dengan panjang lebar mengenai kepercayaan dengan begitu bersahaja. Tiap kali memandangnya aku temui ketenangan. Rupa-rupanya dia mahasiswa terbaik di universiti kami. Lagaknya seperti seorang ustaz tapi dia mengambil jurusan kejuruteraan. Aku ingatkan dia penuntut baharu. Maklumlah, aku bukannya ambil peduli sangat dengan budak baik. Aku hanya berkawan dengan budak yang bermasalah.
Dia diminati oleh ramai penuntut wanita di universiti kami tapi, dia tak pernah terpikat. Hinggalah pada suatu hari...
Aku menerima satu nota berwarna biru ringkas tulisannya.
“Put your trust in Allah... HH”
Aku tertanya-tanya siapa pengirimnya kerana nota itu diselitkan di dalam buku ku. Namun, aku tidak mempedulikan nota tersebut kerana mungkin nota itu bukan untukku.
Keesokan harinya, aku mendapat nota yang sama namun berlainan coretannya.
“Saya nak berkawan dengan awak... HH”
Hati masih tertanya-tanya siapa pengirimnya akan tetapi ku diamkan sahaja. Setiap hari aku mendapat nota dari insan yang menggelarkan dirinya HH. Nota-nota itu, banyak memberikan ku semangat untuk memulakan hidup baru. Dari seorang yang memperlekehkan hukum sehinggalah aku menjadi seorang yang amat menyayangi agama.
Setiap nota itu amat bermakna meskipun aku tidak tahu siapa pengirimnya. Melalui nota itu, aku tahu pengirimnya berniat baik kerana mana mungkin orang yang berniat jahat sentiasa memberi nasihat mengenai perkara-perkara berkaitan dengan agama.
Setelah tamat pengajian, aku tidak lagi menerima nota-nota itu namun aku tidak berubah. Aku berjaya mencapai cita-cita ku untuk menjadi seorang jurutera di salah sebuah syarikat yang terkemuka di Kuala Lumpur. Jadual kerja yang padat membuatkan ku tidak pernah memikirkan soal cinta.
Sehinggalah pada suatu hari ibu menyuarakan hasrat hatinya untuk melihatku bahagia dan dia ingin menimang cucu. Aku hanya mampu mengatakan aku masih belum bersedia untuk berkahwin sebagai alasan.
“Hani dah punya calon?”tanya ibu kepadaku ketika kami sedang minum petang di pondok kecil luar rumah kami.
“Tidak,”jawabku acuh tak acuh.
“Nak ibu tolong carikan?”soal ibu lagi.
“Ibu, Hani serahkan pada ibu untuk carikan calon kerana bagi Hani, apa yang baik di mata ibu, baiklah untuk Hani.”jawabku kerana sudah tidak mampu untuk memikirkan alasan yang terbaik untuk ibu.
“Baiklah kalau begitu kata Hani,”ringkas jawapan ibu disertai dengan senyuman.
Aku hairan akan reaksi ibu tapi ku balas jua senyuman ibu. Tibalah pada suatu hari, ibu memberitahu aku ada seorang lelaki ingin meminangku. Namanya Haris Hakimi. Aku terdiam mendengar nama itu. Mungkinkah dia? Tapi aku biarkan sahaja persoalan itu di benakku.
Hari yang dinanti pun tiba, majlis pertunangan aku dengan Haris Hakimi berlangsung dengan lancar. Alhamdulillah, meski aku tidak begitu mengenalinya tetapi seolah-olah aku pernah bersua dengannya. Selesai majlis pertunangan, dia memohon diri untuk pulang dan mengungkapkan kata, put your trust in Allah. Aku terkedu. Lalu, dia mengahdiahkan aku satu senyuman manis.
Sahlah tunang ku, Haris Hakimi adalah insan yang sering menyelitkan nota biru dalam bukuku. HH itu rupanya Haris Hakimi. Alhamdulillah Ya Allah...Tidak dapat ku gambarkan dengan kata-kata rasa syukur kerana Engkau telah menemukan aku dengan insan yang benar-benar menyayangiku dan aku yakin dia akan membimbingku dalam meniti kehidupan setelah berumahtangga nanti...
Panas yang ku sangkakan hingga ke petang rupanya hujan di tengahari... Haris telah pergi menyahut seruan Ilahi seminggu sebelum perkahwinan kami. Ketika itu, aku dan Haris dalam perjalanan balik ke kampung Haris untuk melawat atuknya di sana. Siapa sangka, kami kemalangan.
Sedar-sedar sahaja aku sudah di hospital. Ibu kata, aku dan Haris kemalangan. Dengan linangan airmata, ibu berusaha menggagahkan dirinya untuk memberitahu ku bahawa Haris telah pergi untuk selamanya.
“Hani...Hani...”ibu menepuk bahuku lembut.
“Maaf bu, Hani teringatkan arwah,”sayunya di hatiku saat ini. Menatap nisan yang tertulis nama insan yang ku sayang...tapi ini semua ketentuan dariNya. Tiada siapa yang tahu saatnya tapi kematian itu pasti bagi setiap makhluk yang bernyawa.
“Marilah kita balik, ibu tengok Hani dah letih,”berat rasa hati untuk meninggalkan pusara arwah tapi hanya doa yang mampu ku titipkan buat mu Haris Hakimi.
Setibanya di rumah, aku terkejut melihat seorang lelaki sedang berdiri di hadapan rumah kami. Seorang insan yang amat ku kenali. Fendi.
“Assalamualaikum, Hani. Assalamualaikum, mak cik.”sapa Fendi kepada aku dan ibu.
Aku terus masuk ke rumah tanpa menghiraukan Fendi yang sedang bercakap dengan ibu di halaman rumah. Namun, aku dapat mendengar perbualan mereka.
“Waalaikumsalam, masuklah.”jawab ibu.
“Tak pe lah mak cik, saya datang ni sekadar nak melihat keadaan Hani. Nampaknya dia sihat. Legalah hati saya. Saya terpaksa balik dulu. Ada hal sedikit di pejabat. Kebetulan lalu di sini, sebab itu saya singgah sekejap.”
“Baiklah. Lain kali datang lagi. Hati-hati memandu.”
“Baik mak cik. Tolong tengok-tengokkan Hani ya mak cik.”
“InsyaAllah.”
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
Fendi pun berlalu pergi. Ibu melihatku dengan wajah yang kehairanan. Tak sangka ibu dapat membaca tingkahlaku ku sebentar tadi yang kurang sopan kerana tidak menghiraukan tetamu.
“Hani...mak nak tanya sesuatu boleh?”
“Apa mak...?”jawabku ringkas.
“Hani tak terfikir nak mencari pengganti Haris...?Maksud mak, kahwin. Mak tengok Fendi ambil berat tentang Hani. Mak ni makin hari makin tua...sekarang dapatlah mak jaga Hani. Tapi, bila mak dah uzur nanti siapa nak tolong tengok-tengokkan Hani...?Mak tak paksa Hani nak kahwin dengan siapa pun...asalkan Hani bahagia.”
Aku diam dan membiarkan suasana sepi di rumah kami. Hanya bunyi kipas yang kedengaran.
“Ibu, Hani nak ibu carikan untuk Hani...seorang lelaki yang boleh menerima Hani apa adanya dan yang penting sekali menghormati ibu dan mampu membimbing Hani.”
“Kalau itu permintaan Hani, ibu akan carikan...”
“Hani tak nak bertunang...kalau boleh kahwin terus...”
“Baiklah, nak...ibu akan bahagia bila Hani bahagia...”
Keesokan harinya ibu memberitahuku bahawa dia telah menemukan seorang lelaki yang memenuhi kriteria yang telah ku sebutkan kepadanya semalam. Aku hairan kerana terlalu cepat ibu menjumpai lelaki yang akan menjadi suamiku. Aku seakan tidak percaya. Dia juga memberitahu bahawa lelaki itu akan datang ke rumah untuk makan malam. Aku berdebar-debar memikirkannya kerana siapakah gerangannya yang sudi menikahi seorang wanita yang lumpuh sepertiku...
Akhirnya, waktu pun tiba. Lelaki itu datang bersama ibu bapanya untuk melihat bakal menantu mereka. Ketika ibu menjemput mereka masuk, aku seakan tidak percaya...lelaki itu adalah Fendi. Dia juga menuturkan put your trust in Allah usai saja makan malam itu. Namun, aku tidak mengendahkannya. Makan malam pada malam itu bertujuan untuk menentukan tarikh perkahwinan kami berdua. Ibu bapa Fendi bersetuju untuk membuat kenduri secara bersederhana dan tidak ada persandingan semasa majlis perkahwinan kami nanti.
15 Februari tarikh pilihan kerana itu adalah tarikh lahir bagi aku dan Fendi. Kebetulan bukan, tapi put your trust in Allah. Dialah yang menentukan jodoh dan pertemuan. Majlis perkahwinan kami berjalan dengan lancar.
Akhirnya, aku hidup dengan bahagia bersama Fendi di samping ibu yang tersayang. Fendi memberitahu kepadaku bahawa dia juga kawan Haris tetapi mengambil jurusan lain. Sebelum kemalangan berlaku, Haris pernah datang berjumpa dengannya. Dia berpesan, sekiranya aku tiada lagi di dunia ini, tolong jaga Hani untukku kerana aku tahu kau mampu membahagiakannya lebih daripada aku membahagiakannya.
Aku akui, Fendi memang suami yang baik masakan tidak, dia menjagaku seperti menatang minyak yang penuh. Alhamdulillah Ya Allah...I will always put my trust on you..
Terkenang kembali memori ketika ijab kabul kami dua tahun lepas, Fendi tampak segak berbaju melayu lengkap. Aku pula berbaju kurung serba ringkas warna biru. Warna biru dipilih sebagai warna tema perkahwinan kami kerana ia merupakan warna kegemaran kami.
“Biru lambang ketenangan...” lembut sahaja jawapannya bilaku bertanyakan sebab meminati warna itu. Serentak itu aku pun tersipu kerana aku juga meminati biru atas sebab itu. Akhirnya, kami sepakat memilih biru sebagai warna tema.
Tiba hari perkahwinan, kami hanya mengadakan majlis doa selamat setelah diijabkabulkan di masjid berdekatan. Fendi membantu untuk berjumpa dengan sanak saudara dengan menggunakan kerusi roda. Alangkah bahagianya saat itu kurasakan.
“Ya Allah...terima kasih kerana telah menemukan ku dengan cinta sejati yang juga mencintaiMu...” bisikku di dalam hati.
“Sayang...” serentak aku terasa bahuku ditepuk lembut dan lamunanku terhenti.
“Abang rupanya...ingatkan siapa tadi...” jawabku.
“Dari tadi abang panggil sayang...kenapa termenung dari tadi...? Sayang ada masalah ke..?” bertubi-tubi soalan Fendi kepadaku.
“Tak ada apa-apalah bang...Hani teringat kenangan masa majlis perkahwinan kita dulu...alhamdulillah kini Hani dah sembuh kan bang...kalau tak...” belum sempatku menuturkan kata-kata, Fendi meletakkan jarinya ke mulutku.
“Sayang...bersyukurlah atas apa yang telah terjadi...janganlah berhenti meletakkan kepercayaan kepada Allah...yakinlah setiap yang berlaku ada hikmahnya. Allah tidak akan menguji hambaNya melebihi kemampuannya...ingatlah sayang, put your trust in Allah... Marilah kita makan bersama, Hakim dah tunggu kat dapur,” kami bersama-sama melangkah masuk ke dalam rumah untuk ke dapur.
“Alhamdulillah Ya Allah...terima kasih kerana memberikanku nikmat berjalan semula...” ku panjatkan syukur di dalam hati.
Setibanya di dapur, segalanya telah tersedia. Ada sebiji kek di atas meja. Fendi tersenyum kepadaku. Aku kehairanan.
“Selamat ulangtahun sayang...” astarghfirullah,baru ku teringat. Hari ini genap dua tahun perkahwinan kami.
“Selamat ulangtahun juga sayang...” balasku dengan senyuman.
Selesai saja Fendi membacakan doa selamat, kami pun menjamu selera. Hakim yang baru sahaja berusia setahun begitu gembira.
“Kalaulah aku mampu...mengubah segalanya...astarghfirullah...sepatutnya aku tidak berfikiran sebegitu...ini semua takdir yang telah ditetapkan oleh Allah...Allah Maha Kuasa...”, kataku di dalam hati.
“Sayang...kenapa asyik termenung je kebelakangan ni...ada apa-apa yang Hani sembunyikan dari abang ke...? Abang tengok Hani macam ada masalah je...”, tersentakku dari lamunan.
“Abang. Takde la bang...termenung tak semestinya ada masalah kan..?” soalan yang ku balas dengan soalan disertai senyuman yang ku ukir ikhlas untukmu sayang.
“Ok. Abang percaya. Dah nak maghrib..marilah masuk. Kita bersiap-siap untuk solat berjemaah bersama-sama.”
“Baiklah, bang...Lagipun, Hakim tengah nyenyak tidur.”
Seusai sahaja solat, aku bersegera ke dapur untuk memasak juadah makan malam kami anak-beranak. Jika tengahari tadi Fendi telah memasak untukku, sekarang aku akan memasak lauk kegemarannya sebagai tanda terima kasih padanya.
“Ya Allah, berikanlah aku sedikit lagi kesempatan...”bisikku di dalam hati ketika sedang menyiapkan makan malam.
Tiba-tiba aku dikejutkan dengan tepukan di bahuku. Serentak itu juga suara insan yang aku sayangi menjengah telinga.
“Wah, banyaknya lauk. Sayang yang masak ke? Kenapa tak panggil abang untuk bantu tadi...?” soal Fendi.
“Saja nak bagi surprise...marilah makan.”
Tanpa sebarang persoalan, Fendi terus mengambil tempatnya seperti biasa. Dia kelihatan begitu gembira dan menikmati rezeki di hadapannya. Aku bersyukur padamu Ya Allah kerana dipertemukan dengannya.
Setelah makan, kami mengemas dapur bersama-sama.
“Sayang betul-betul dah sihat ke?”soal Fendi secara tiba-tiba.
“Maksud abang...?”soalku seakan-akan tidak mengerti.
“Sakit sayang la...dah betul-betul pulih ke..?Abang tengok sayang selalu termenung kebelakangan ni. Abang risau. Hari ni kita pergi klinik nak tak...? Jumpa doktor yang rawat sayang...kalau sayang tak nak, abang tak paksa..” jelas Fendi satu per satu.
“Ayang sihat la bang..jangan risau. Doktor kan dah kata, tumor tu dah tak ada..” jawabku bersahaja dengan senyuman bagi menutup kebimbangan yang terlakar di wajahku sebentar tadi.
“Alhamdulillah...”Fendi memanjatkan kesyukurannya. Malam pun berlalu. Keesokan paginya, setelah solat berjemaah bersama, aku dan Fendi berbual-bual.
“Hari ini, kat mana kita nak luangkan masa hujung minggu bersama Hakim..?” tanya Fendi kepadaku meminta pendapat.
“Kita bawak dia pergi jalan-jalan lepas tu berkelah di tepi pantai. Rasanya lama dah kita tak bawak dia pergi berkelah.”
“Bagus juga tu. Abang pergi kejutkan Hakim, Hani pergi bersiap-siap dulu. Abang tolong jaga Hakim.”
“Baiklah bang..”ku ukir senyuman padanya.
Pagi itu, aku rasa kepala ku berat..namun ku gagahkan jua kaki untuk melangkah ke bilik mandi setelah disuruh bersiap-siap oleh Fendi. Selesai mandi, ku rasa peningku sedikit berkurangan dari sebelumnya.
“Alhamdulillah...”ucapku dalam hati.
“Amboi, lawanya isteri abang..”usik Fendi ketika melihatku mengenakan baju kurung berwarna biru yang dihadiahkannya sempena ulangtahun perkahwinan kami sambil mengendong Hakim. Aku hanya tersenyum.
“Abang, abang lah suami terbaik Hani pernah ada...Ya Allah berikanku sedikit lagi waktu... I will always put my trust on you..”bisikku di dalam hati.
Kami sama-sama melangkah keluar dari bilik. Pagi itu indah sekali, aku bersyukur kerana diberi peluang untuk menghirup udara yang segar. Sebelum kami pergi berkelah, aku ada menyuarakan hasratku untuk menziarah pusara arwah ibu dan ayah semalam.
Setibanya di tapak perkuburan, aku melangkah laju di hadapan diiringi oleh Fendi yang mengendong Hakim. Betapa aku merindukan kedua orang tuaku. Aku sedekahkan Surah al-Fatihah dan Yassin begitu juga Fendi. Kami membacanya secara bergilir-gilir.
“Ibu, terima kasih kerana menjaga Hani selama ini tidak kira di saat susah mahu pun senang. Hani, rindukan ibu. Hani harap kita akan berjumpa lagi kelak... Ibu lah insan terbaik Hani pernah ada...Ayah, Hani bertuah menjadi anakmu.” luahku di dalam hati semasa merenung tulisan nama ibu yang terukir indah di batu nisannya.
Terasa berat kakiku melangkah untuk meninggalkan pusara mereka. Namun, apakan dayaku. Hanya doa yang mampu ku kirimkan buat mereka semoga Allah menempatkan mereka di sisi orang yang mulia. Amin..
Kami pun pergi ke destinasi perkelahan kami. Di sana, kami begitu gembira. Aku bahagia di samping Fendi dan Hakim. Hatiku tidak berhenti-henti memanjatkan kesyukuran kepadaNya kerana memberikan aku masa untuk meluangkan masa bersama insan yang aku sayangi dan memberikan kenangan terindah buat mereka.
Pandanganku tiba-tiba kabur...
“Sayang...!” jeritan itu samar-samar kedengaran, namun aku tahu suara itu milik Fendi dan aku tahu sudah sampai masanya untuk aku pergi.
“Bagaimana keadaan isteri saya doktor?”soal Fendi setelah doktor keluar dari wad kecemasan.
“Maaf,, Allah lebih menyayanginya...saya harap tuan bersabar.”
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un...”
“Sayang...kenapa tinggalkan abang di saat abang masih memerlukanmu...?”
Malam itu, Fendi tidak mampu memejamkan matanya. Dia mengemas biliknya, sehingga terjumpa diari milik Hani. Dia menyelak helaian demi helaian hingga pandangannya tertancap pada helaian yang bertarikh 15 Februari 2010.
15 Februari 2010
Hari ini genap sudah dua tahun perkahwinan kami. Ulangtahun kali ini terlalu istimewa kerana adanya Hakim memeriahkan lagi suasana rumahtangga kami. Syukur ku panjatkan padaMu, Ya Allah...aku mohon diberikan sedikit lagi waktu agar dapat menemani mereka selagi mampu meskipun hambaMu yang kerdil ini sudah tidak punya waktu yang panjang...kesakitan ini semakin tidak mampu ku tanggung, namun aku harus tabah di hadapan mereka seolah-olah tidak merasakan kesakitan walau sedikit pun.
Aku teringat kata-kata doktor,
“Puan, tumor pada otak puan memang sudah hilang akan tetapi itu cuma simptom yang menunjukkan sakit puan sudah sampai pada tahap yang tidak dapat diubati...saya harap puan bersabar...”
Ya Allah, semoga Fendi mampu menjalani hari-hari mendatang bertemankan Hakim sebagai penawar suka dan dukanya. Dialah suami terbaik yang pernah aku ada. Terima kasih Ya Allah...it is not a regret to always put trust on you...
Fendi menitiskan airmatanya terkenangkan arwah. Hatinya hiba setelah membaca diari itu. Namun, segalanya ketentuan Allah, tiada siapa yang mampu mengubahnya. Setiap yang hidup pastinya akan mati, kita yang masih hidup hanya mampu mendoakan mereka yang telah pergi akan ditempatkan di sisi orang yang dirahmatiNya...Amin...
0 jari-jari menaip komen:
Post a Comment