Sunday, November 3, 2013

Kerna Kamu Cuma Satu Untukku

... Pilu Hati Ibu ...
"Nisa, oh Nisa..." panggil ibu dari arah dapur.
"Mana pulak pergi budak ni..." omel ibu sendirian.
"Oh anakku Nisa yang comel, di manakah anakanda?" soal ibu lagi sambil tangannya pantas memasukkan satu per satu ramuan untuk Laksa Sarawak.
Masih tiada jawapan. Akhirnya hasrat ibu untuk meminta tolong daripada anak kesayangannya dilupakan sahaja.
Sementara di dalam bilik,
Nisa berpura-pura tidak mendengar ketika ibunya memanggil kerana sibuk melayari laman sosial.
Ping! Bunyi menandakan ada mesej baru masuk dalam ruangan chat.
Nisa tersenyum sendirian di dalam bilik. Mesej tersebut adalah daripada Irzan, buah hatinya.

Irzan: Salam, Nisa buat apa tu?
Nisa: Waalaikumsalam, online je ni. Nape?
Irzan: Saja tanya, tak boleh ke?
Nisa: Boleh je... jangan lebih-lebih sudah.
Irzan: Lebih-lebih yang macam mana?
Nisa: Macam-macam lah. Buat-buat tak tahu pulak.

Begitulah Nisa menghabiskan masa hujung minggu atau pun waktu cutinya sepanjang berada di rumah. Kalau tidak melayari laman sosial, dia akan keluar berjalan-jalan bersama rakan-rakannya. Dia tidak mempunyai keinginan untuk membantu ibunya untuk melakukan kerja-kerja rumah seperti gadis-gadis lain yang seusia dengannya.
Sedang Nisa asyik melayari internet, pintu biliknya diketuk.
"Assalamualaikum, Nisa." kedengaran sayup suara ibunya.
"Hmm...mengganggu betul lah orang tua ni." rungut Nisa di dalam hati.
"Waalaikumsalam, bu. Ada apa?" tanya Nisa sejurus selepas pintu biliknya dibuka.
"Ibu nak ajak Nisa sarapan sekali. Ayah pun tengah tunggu Nisa nak makan sama-sama." panjang lebar ibu menjawab.
"Ala, Nisa tak lapar lagi lah bu. Ibu dan ayah makan lah dulu." jawab Nisa acuh tak acuh.
"Makanlah sekarang, nak. Nanti sejuk laksa tu tak sedap pulak. Jomlah sayang." ibu masih mahu memujuk.
"Bukannya tak dapat dipanaskan pun nanti. Ibu ni ada-ada je lah." serentak itu pintu bilik ditutup kuat.
"Astarghfirullahalazim." perlahan sahaja suara ibu diperlakukan sedemikian oleh anaknya sendiri.
"Ya Allah, apakah salahku padanya? Apakah selama ini aku kurang memberi didikan padanya?"
Begitulah lumrah sikap seorang ibu, seringkali rasa kekurangan dari didikannya apabila si anak tidak membesar seperti yang dibentuk.

... Doa Ibu...
"Ibu, Nisa nak keluar kejap. Mungkin balik lewat sikit." Cepat-cepat sahaja Nisa memberitahu ibunya.
"Keluar dengan siapa, nak?" soal ibunya perlahan.
"Ibu ni sibuk je nak tahu Nisa keluar dengan sape. Orang la, takkan binatang." bentak Nisa kemudian terus keluar dari rumah apabila kelihatan sebuah kereta hitam tiba di perkarangan rumahnya.
Nisa keluar tanpa menyalam tangan ibunya dan berlalu pergi. Perangai Nisa semakin menjadi-jadi jika ayahnya tiada di rumah. Itulah peluang keemasan bagi Nisa untuk membuat perangai kerana sepanjang ketiadaan ayah, takkan ada sesiapa yang akan mampu melarang mahupun menegahnya untuk berbuat onar. Ibu pula sememangnya tidak mampu untuk bersuara kerana hatinya mudah tersentuh lalu menyalahkan dirinya sendiri.
"Ya Allah, ampunkanlah dosaku Ya Allah kerana gagal mendidiknya dengan baik. Ya Allah, lindungilah dia dari sebarang kemudaratan. Sungguh, hambamu ini tidak mampu untuk melihat apa yang terlindung daripadanya, Engkau jua yang Maha Melihat." ibu Nisa tetap mendoakannya meskipun hatinya terguris dengan tingkah Nisa sebentar tadi.
Laju sahaja Nisa melangkah pergi meninggalkan ibunya dengan pakaian yang ketat tidak mengikut syariat.

"Hai sayang, nape lambat sangat? Lama I tunggu." Manja sahaja suara Nisa bertanya pada Irzan.
"I ada kerja sikit tadi sayang, maafkan I ye. I bukan sengaja pun nak lambat-lambat. Rindu sayang tau." Kata Irzan cuba memujuk Nisa yang mula menarik muka masam kerana menunggu Irzan sudah hampir sejam.

... Maafku Pinta ...
Malam itu, ibu menunggu Nisa untuk makan malam bersama. Malangnya, Nisa tidak kunjung tiba. Hati ibu digamit rasa bimbang, rasa gelisah mula bertandang. Ibu tidak mampu untuk menjamu seleranya pada malam itu. Nasi terbiar di atas meja terhidang bersama lauk kegemaran Nisa yang sudah sejuk. Penat menunggu, ibu pun tertidur di meja setelah menutup hidangan dengan tudung saji.

Tiba-tiba, ibu dikejutkan dengan bunyi dering telefon. Cepat-cepat ibu bangkit dari tidurnya untuk menjawab panggilan tersebut kerana itu mungkin panggilan dari anak kesayangannya, Nisa.

"Assalamualaikum," kedengaran suara garau ayah.
"Waalaikumsalam abang," jawab ibu perlahan.
"Ayang ke mana dari tadi abang telefon tak diangkat?" tanya ayah.
"Maaf abang, ayang tertidur tadi." jawab ibu yang baru menyedari bahawa dia telah tertidur selama dua jam memandangkan sudah pukul  12 tengah malam.
"Alhamdulillah, lega sikit hati abang. Kalau tidak, mahunya abang balik tinggalkan kerja semata-mata nak pastikan isteri abang dalam keadaan sejahtera."
"Abang tak payah risau, fokus pada kerja abang. Doa untuk ayang, insyaAllah segalanya terkawal," ibu cuba untuk meyakinkan ayah.
"Baguslah kalau macam tu, abang nak tidur dulu ni. InsyaAllah, lusa abang dah boleh balik lepas siapkan kerja di sini. Ayang jaga diri elok-elok. Solat jangan lupa. Ha, lagi satu. Perhatikan Nisa sementara tunggu abang balik ye. Terima kasih, sayang. Jangan lupa baca doa sebelum tidur ye, mimpi indah," pesan ayah panjang lebar.
"InsyaAllah abang, ayang ingat semua pesan abang. Abang pun sama ye. Jaga diri. Maafkan ayang jika ada salah silap tutur kata malam ni. Assalamualaikum abang."
"Ayang tak buat salah ape pun. Waalaikumsalam sayang."

Ibu benar-benar rasa bersalah kerana tidak memberitahu ayah perkara sebenar tentang apa yang telah terjadi. Ibu masih tertanya-tanya ke mana perginya Nisa yang masih belum pulang dari petang tadi. Jika perkara ini diketahui ayah, sudah pasti Nisa akan dimarahi oleh ayahnya.

...Cinta Manusia...
Nisa balik dengan esakan pada malam itu. Namun, tika ibu bertanya dia membiarkan sahaja ibunya berfikir sendirian. Dia terus masuk ke biliknya dan tidak menghiraukan ibunya yang telah lama menunggu.

to be continued...


 
Luahan Hati Blogger Template by Ipietoon Blogger Template