Petang itu, ayah masih mengulang perkara yang sama. Menunggu kepulangan anak sulungnya yang telah lama merantau ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki bagi membela nasib keluarga kami. Kehidupan kami serba susah. Ayah yang sudah berumur tidak mampu lagi melakukan apa-apa kerja berat. Ibu telah lama meninggalkan kami sejak saya di bangku sekolah lagi. Pada masa itu, Along berusia 17 tahun. Along bukannya tidak pandai. Dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di UITM tetapi tawaran tersebut ditolaknya. Ibu yang baru sahaja meninggal dunia dan ayah yang sudah tua serta saya, adiknya yang masih bersekolah ketika itu membuatkan Along mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur, mencari rezeki. Kata Along, kawannya yang bernama Kak Min mengatakan ada peluang pekerjaan yang disediakan di tempat kerjanya. Along meminta izin ayah untuk pergi ke kota metropolitan itu untuk bekerja. Pada mulanya ayah keberatan kerana Along merupakan buah hati pengarang jantungnya. Ayah tidak pernah berjauhan dengan Along dan begitu menyayanginya. Along seorang anak yang baik dan selalu menghiburkan seisi keluarga dengan kenakalannya. Setelah beberapa kali memujuk, akhirnya ayah bersetuju.
“Along janji, Along akan balik rumah tiap-tiap bulan untuk menjenguk ayah.” Janji Along menyebabkan ayah merelakan kepergian Along ke Kuala Lumpur.
Pada bulan pertama Along bekerja di Kuala Lumpur, Along telah mengirimkan wang kepada ayah dan bersama kiriman wang itu terselit sepucuk surat buat ayah.
Assalamualaikum ayah,
Ayah apa khabar? Sihat? Along di sini sihat seadanya. Ayah, Along rindu sangat kat ayah. Tak sabar rasanya nak balik kampung. Sara pulak apa khabar? Bagaimana pelajarannya? Bila adik Sara duduk SPM? Walau apa pun, Along sentiasa doakan kejayaan adik Sara. Ayah, minggu depan Along balik kampung tau..ayah tunggu kepulangan Along na. Along rindu kat ayah dan adik Sara. Oh, ya! Along rindukan asam pedas masakan ayah..mm..sedapnya.
Yang benar,
Along.
Ayah begitu gembira mendapat khabar daripada Along. Ayah tidak sabar menunggu kepulangan Along. Hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. Ayah bangun awal untuk memasak asam pedas buat Along yang merupakan lauk kegemaran Along sejak kecil lagi. Setelah selesai memasak, ayah menunggu Along di muka pintu. Ayah menunggu dari pagi hingga ke malam tetapi bayang Along masih belum kelihatan. Ayah memanaskan lauk asam pedas yang dimasaknya untuk Along kerana detik hatinya mengatakan Along akan tiba namun dia hampa. Along masih belum muncul.
Keesokan harinya, ayah mengulang perkara yang sama seperti semalam. Namun, Along tidak juga tiba. Sejak hari itu, Along juga sudah tidak mengirimkan wang dan surat kepada kami. Ayah pula menunggu kepulangan Along di muka pintu tanpa rasa jemu setiap hari.
Kini sudah hampir setahun Along berada di kota metropolitan itu dan kami masih belum mendapat khabar berita daripada Along. Pelbagai cerita yang tidak elok mengenai Along dicanang di kampung namun tidak saya pedulikan.
Bukannya saya tidak tahu, mak meninggal dunia pun disebabkan mulut celupar Mak Cik Limah yang mereka-reka cerita kepada orang kampung dengan mengatakan Along selalu keluar dengan budak lelaki setiap petang. Mak yang mengidap strok terus jatuh pengsan apabila cerita tersebut sampai ke telinganya lalu meninggalkan kami buat selama-lamanya.
Ayah jatuh sakit kerana terlalu rindukan Along setelah setahun Along menghilangkan diri. Sudah seminggu ayah terlantar di hamparan tikar usang mengenangkan sakitnya. Walaubagaimanapun, nama Along tetap meniti bibirnya. Keadaan ayah semakin tenat. Penduduk kampung datang ke rumah untuk menziarahnya dan membacakan Yassin untuk ayah. Pada pagi itu, ayah semakin tenat. Saya bergegas memanggil Pak Cik Man lalu Pak Cik Man pun segera memanggil Tok Imam. Ketika orang ramai sedang membacakan Yassin pada saat ayah sedang nazak, saya terdengar satu suara yang memanggil ayah dari jauh.
“Ayah! Ayah! Ayah! Along dah balik!”
Saya melihat keluar rumah. Ternyata Along sudah balik.
Along bertanya, “Kenapa ramai orang kat rumah kita ni?”
“Sara rasa lebih baik Along masuk dulu.”
Ayah menatap lama wajah Along, anak yang dirinduinya selama ini. Along membimbing ayah mengucap dua kalimah syahadah. Ayah mengikutnya satu per satu apa yang dituturkan oleh Along. Tidak lama kemudian ayah memejamkan matanya. Ayah pergi buat selama-lamanya. Along menjerit dalam esak tangisnya memanggil ayah.
Setelah jenazah ayah selamat dikebumikan, saya pulang ke rumah bersama Along. Pada malam itu, kami mengadakan tahlil buat arwah ayah dengan bantuan Pak Cik Man dan isterinya Mak Nab, jiran kami dan juga merupakan sahabat baik ayah. Selepas majlis tahlil berakhir, Pak Cik Man bertanya kepada Along tentang kehilangannya selama setahun lalu.
“Maafkan Along, pak cik. Along tidak bermaksud untuk membuat ayah terluka. Pada hari Along nak balik ke Kedah, Along diragut semasa dalam perjalanan ke perhentian bas. Along berusaha melawan peragut itu namun Along telah ditolak dan kepala Along terhantuk pada bahu jalan.Along tidak sedarkan diri. Along telah dibawa ke hospital oleh seseorang. Along koma selama sebulan dan apabila sedar, Along tidak ingat apa-apa. Along hidup bersama orang yang telah menyelamatkan Along kerana kebetulan mereka tidak ada anak. Setelah setahun hidup bersama En Halim dan Pn Halimah, ingatan Along kembali pulih. Along pun meminta izin mereka untuk balik kampung kerana terlalu rindukan ayah dan adik Sara.”
Kini, terjawablah segala persoalan tentang kehilangan Along selama setahun lalu. Apa yang diperkatakan oleh Mak Cik Limah bohong belaka. Keluarga angkat Along mengambil keputusan untuuk membawa kami tinggal bersama mereka di Kuala Lumpur. Saya sekarang belajar di tingkatan 2 manakala Along menyambung pelajarannya di UITM. Kami bahagia hidup bersama mereka. Sungguhpun begitu, ayah dan ibu tidak kami lupakan. Setiap bulan kami akan dibawa pulang ke kampung untuk menziarah pusara ayah dan ibu.